KUCHING: Dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penekanan menyeluruh terhadap pembangunan infrastruktur di seluruh negara, termasuk Sarawak.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan dengan baik. Tanpa kemudahan asas seperti jalan yang baik, sukar untuk menyampaikan perkhidmatan lain seperti pendidikan, kesihatan, dan keselamatan.
“Jalan raya ibarat nadi bagi tubuh badan, tanpanya pembangunan sukar untuk sampai ke kawasan luar bandar. Contohnya, walaupun projek-projek sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, pelaksanaan dan pemantauan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Siap di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.
Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit, turut menyentuh mengenai projek di kawasan Sungai Batang Rajang yang dimasukkan dalam RMK13. Projek tersebut melibatkan pembinaan jalan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau.
“Panjang jalan ini dianggarkan kira-kira 70 kilometer dan bakal memberikan manfaat kepada ribuan penduduk termasuk di kampung, rumah panjang, sekolah dan klinik,” jelasnya.
Bagi projek lebuh raya Trans Borneo Sarawak, Nanta berkata ia melibatkan tiga fasa bermula dari Tudan ke Kuala Baram di Bahagian Miri, berhampiran Pos Imigresen Sempadan Malaysia–Brunei, sebelum berakhir di Bahagian Limbang tanpa melalui Brunei.
“Projek ini ialah lanjutan kepada Pan Borneo dan akan memberikan impak besar, khususnya kepada pembangunan ekonomi dan keterhubungan kawasan seperti Limbang yang merupakan bandar utama di utara Sarawak,” ujarnya.
Dalam ucapannya semasa majlis tersebut, beliau menekankan bahawa JKR akan terus memantau penyelenggaraan pascapenyerahan bagi memastikan projek berfungsi dengan baik.
“Kejayaan menyiapkan dan menyerahkan dua lagi projek mengikut jadual pada hari ini membuktikan bahawa aspirasi Kerajaan MADANI bukan sekadar retorik, tetapi diterjemahkan dalam realiti melalui projek yang berkualiti, siap tepat pada masanya dan memberikan nilai tambah kepada masyarakat,” katanya. - Bernama