• 2025-08-02 11:38 AM

JOHOR BAHRU: Inisiatif kerajaan memperkukuh sistem pengurusan rekod kesihatan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membawa transformasi menyeluruh ke arah sistem kesihatan negara yang lebih cekap, responsif dan berdaya tahan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu bukan sahaja akan mempercepat rawatan malah meningkatkan kecekapan pengurusan fasiliti serta penjagaan pesakit.

Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia di fasiliti kesihatan termasuk di Johor yang kini berdepan krisis kekurangan petugas kesihatan.

“Saya amat setuju dengan hala tuju kerajaan dalam memperkukuh sistem pengurusan rekod kesihatan menggunakan AI kerana akan memudahkan proses rawatan, mempercepat analisis data dan mengurangkan beban sumber manusia di fasiliti kesihatan.

“Penggunaan AI (dalam sektor kesihatan) juga dapat menganalisis data dengan pantas dan apabila pesakit mempunyai rekod kesihatan atau perubatan peribadi lengkap, ia membantu dalam pemberian rawatan dengan lebih tepat dan berkesan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ling turut menyokong penuh peruntukan RM40 bilion di bawah RMK13 bagi menaik taraf fasiliti kesihatan di seluruh negara, yang disifatkannya sebagai langkah tepat terutama di Johor yang sedang pesat membangun.

Bagaimanapun, beliau berkata pembangunan fasiliti perlu seiring dengan persiapan sumber manusia, termasuk latihan mencukupi kepada jururawat, doktor dan petugas kesihatan lain.

“Dengan pembangunan pesat khususnya di Johor, kita amat memerlukan fasiliti baharu atau penaiktarafan fasiliti sedia ada bagi menampung keperluan semasa rakyat.

“Kementerian Kesihatan perlu memastikan tenaga kerja mencukupi dan terlatih supaya perkhidmatan yang ditambah baik dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM40 bilion diperuntukkan kepada sektor kesihatan menerusi RMK13, termasuk peluasan penggunaan AI serta pembangunan dan naik taraf fasiliti kesihatan di seluruh negara. - Bernama