KUALA LUMPUR: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen minggu lepas merupakan pencapaian penting dalam merangka hala tuju pembangunan jangka sederhana, menurut Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata, ketika Malaysia menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, transformasi teknologi, perubahan iklim dan demografi, RMK13 memberi peluang untuk menumpukan semula keutamaan serta membina daya tahan negara. “Secara umum, rancangan ini wajar dipuji atas hasratnya untuk menangani cabaran utama seperti ketidaksamaan pendapatan, transformasi digital dan peralihan kepada ekonomi hijau,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee menegaskan kejayaan RMK13 bergantung pada disiplin, ketelusan dan pelaksanaan berkesan di semua peringkat kerajaan dan masyarakat. Bagi memastikan keberkesanannya, beberapa aspek perlu diberi perhatian termasuk penubuhan mekanisme pemantauan yang mantap. “Laporan awam secara berkala dan audit prestasi akan membantu memastikan akauntabiliti dan pelarasan semula dilakukan apabila perlu,“ ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan koordinasi kukuh antara agensi Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan. “Kementerian dan jabatan perlu bekerjasama secara sinergi untuk mengelakkan kelewatan atau ketidakcekapan,“ jelas Lee.
Penglibatan masyarakat sivil, sektor swasta dan komuniti setempat juga perlu diteruskan melangkaui peringkat perancangan. “Pelaksanaan haruslah inklusif dan sejajar dengan realiti semasa,“ tambahnya.
Lee turut menyarankan pembiayaan mencukupi dan tanggungjawab fiskal sebagai faktor kritikal. “Perbelanjaan pembangunan mesti diutamakan berdasarkan impak, kesaksamaan dan kemampanan, dengan tumpuan kepada pengurangan ketirisan,“ katanya.
Akhirnya, beliau menyeru pembangunan kapasiti dalam perkhidmatan awam serta reformasi institusi. “Kerajaan perlu bersedia menyesuaikan rancangan mengikut perubahan semasa, termasuk kejutan global atau perubahan dalam negara,“ tegas Lee. - Bernama