Your Title

KOTA BHARU: Dua bekas banduan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini atas sembilan pertuduhan membabitkan kes rompakan bersiri kedai serbaneka serta premis jualan di beberapa lokasi di Kelantan.

Mohamad Harris Mohd Angelan, 33, dan Ahmad Khairul Sabirin Mohd Ramli, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah serta Majistret Rais Imran Hamid dan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh berdepan tujuh pertuduhan.

Mereka didakwa memecah masuk premis menjual peralatan rumah dengan niat mencuri pada 9 April, 8 Ogos serta 22 dan 25 Sept 2024 antara 11 malam hingga 2.54 pagi di lokasi berasingan iaitu Bandar Baru Tunjong, Jalan Hamzah, Kota Jembal dan Bunut Payong di sini.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama di kedai serbaneka pada 4.51 pagi 10 Nov lepas serta di kedai 24 jam masing-masing pukul 3 dan 6 pagi pada 4 dan 6 Sept lepas di Jalan Temenggong dan Tanjong Mas di sini.

Ahmad Khairul Sabirin turut berdepan pertuduhan melakukan perbuatan memecah masuk premis dengan niat mencuri di kedai menjual peralatan rumah di Kota Jembal di sini pada 9.40 pagi 22 Sept lepas.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam Hajar Sahiras Zukefli.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius, bersiri dan boleh memberi ancaman jika dilepaskan dengan jaminan selain boleh melarikan diri.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan beliau mencadangkan jumlah sebanyak RM15,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan.

Hajar Sahiras pula memohon agar kedua-dua tertuduh diberikan jaminan munasabah atas alasan Ahmad Khairul Sabirin hanya bekerja kampung dan menyara tiga anak, isteri serta ibu bapa yang sakit manakala Mohamad Harris pula bekas pekerja pelantar minyak yang perlu menanggung tiga anak, isteri serta ibu bapa yang uzur.

Zulkifli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka hadir ke balai polis berdekatan selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta menetapkan 24 Dis ini sebagai sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret pula, kedua-kedua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba memecah masuk premis menjual peralatan rumah cawangan Kadok dan Telipot di sini pada kira-kira 4 pagi 15 Ogos dan 8 Okt lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh namun mahkamah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 24 Dis ini untuk menyebut semula kes itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun jika sabit kesalahan.