KUALA LUMPUR: Peguam Rosli Dahlan gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perintah sitaan oleh polis dan kerajaan ke atas empat akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, ketika menolak permohonan Rosli, berkata tindakan menyita akaun terbabit adalah sebahagian daripada siasatan polis.

“Tiada bukti di hadapan saya bahawa siasatan itu telah selesai. Pemohon meminta mahkamah ini untuk mengetepikan perintah sitaan itu meskipun proses siasatan belum selesai. Saya berpandangan bahawa pada peringkat ini, mahkamah tidak boleh campur tangan,“ katanya.

Beliau juga berkata tiada dakwaan terdapat niat jahat di pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dalam mengeluarkan perintah itu.

“Justeru itu, permohonan untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman ditolak. Memandangkan kes ini adalah untuk kepentingan awam maka saya tidak membuat sebarang perintah mengenai kos,“ katanya.

Rosli dalam permohonan yang difailkan pada April lepas telah menamakan lima pegawai polis termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Ramli Mohammed Yoosuf, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Beliau memohon mahkamah membatalkan perintah sitaan keempat-empat akaun ASNB terbabit di bawah Seksyen 50 AMLATFPUAA 2001.

Rosli diwakili peguam Datuk DP Naban manakala Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim mewakili responden.