KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan Rosman Razak tetap memberikan tumpuan kepada persiapan beregu utama negara Pearly Tan-M. Thinaah untuk menghadapi Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28), meskipun status mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum dimuktamadkan.

Kontrak Pearly-Thinaah bersama BAM yang tamat hujung tahun lepas masih belum diperbaharui, sekali gus menimbulkan spekulasi mereka mungkin bertukar status kepada pemain profesional.

Rosman bagaimanapun berkata beliau akan terus memberikan komitmen penuh selagi pasangan naib juara Terbuka Indonesia 2025 itu masih berada di bawah bimbingannya.

“Apa juga keputusan atau kesudahannya saya tak begitu peduli kerana kalau terlalu difikirkan, ia akan memberi kesan kepada saya juga sebab saya sendiri tidak tahu masa depan. Selagi mereka masih berlatih di bawah saya, saya akan buat yang terbaik untuk urus dan bimbing mereka ke arah matlamat apa yang kita perlu buat.

“Itu sebab mengapa BAM ambil saya bekerja, jadi selagi tiada perubahan saya hanya fokus dengan objektif (LA28),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.

Pada final Terbuka Indonesia 2025, Ahad lepas, pasangan nombor empat dunia itu memberi tentangan sengit kepada gandingan nombor satu dunia dari China Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tewas 25-23, 12-21, 19-21 dalam pertarungan selama satu jam 29 minit di gelanggang ikonik Istora Senayan, Jakarta.

Walaupun gagal meraih gelaran pada kejohanan Super 1,000 di Jakarta, Rosman tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan berharap Pearly-Thinaah dapat mengekalkan konsistensi pada kejohanan akan datang.

Beliau turut mengakui peningkatan prestasi gandingan itu sejak memegang jawatan jurulatih pada November lepas, sambil memuji kesediaan mereka untuk berubah dan memperbaiki diri.

“Mereka sedia mendengar dan menyesuaikan diri kerana untuk kekal sebagai pasangan utama dunia bukan mudah seperti yang disangka. Banyak faktor lain yang boleh menyebabkan prestasi naik atau turun tetapi mereka beraksi secara profesional,” katanya.

Rosman ketika ditanya sama ada Pearly-Thinaah menunjukkan peningkatan dalam kejohanan bertaraf tinggi berkata tahap kualiti dan tekanan adalah sama, tidak kira sama ada kejohanan Super 500, Super 750 atau Super 1,000 kerana kebanyakan pasangan utama dunia turut bertanding di semua peringkat itu.

“Secara jujur, saya anggap kejohanan Super 500, 750 dan 1,000 adalah sama. Tekanan tetap sama. Saya tak boleh kata Super 500 atau 750 kurang tekanan dan Super 1,000 lebih menekan kerana tiada beza pun,” katanya.