KUALA LUMPUR: Wanita hamil digalakkan berbincang dengan doktor masing-masing bagi menerima imunisasi yang berfungsi melindungi mereka daripada jangkitan Virus Respiratori Sinsitial (RSV), sejenis virus pernafasan yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini membimbangkan banyak isi rumah.
Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Intensif Pediatrik Dr Gan Chin Seng berkata RSV yang sering disalah anggap sebagai selesema bermusim sebenarnya merupakan antara punca utama penyakit pernafasan serius, kemasukan ke hospital serta kematian dalam kalangan bayi berusia bawah enam bulan dan warga emas berumur 60 tahun ke atas.
“Setiap tahun, secara global, RSV menyebabkan lebih 33 juta jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Daripada jumlah itu, 3.6 juta kes memerlukan rawatan di hospital, manakala hampir 100,000 kematian direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata walaupun beban jangkitan RSV adalah besar di peringkat global, ia sering kali tidak diberi perhatian sewajarnya, malah ramai ibu bapa dan penjaga tidak pernah mendengar tentang virus ini sehinggalah orang tersayang mereka dimasukkan ke hospital.
“Kami pernah melihat bayi yang sihat sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hanya dalam beberapa hari disebabkan RSV. Antara perkara paling sukar pernah saya alami ialah melihat seorang bayi bertarung untuk bernafas manakala ibu bapanya hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa.
“Ia amat menyayat hati, dan situasi seperti ini telah saya saksikan berkali-kali,” katanya sambil menambah bahawa di Malaysia, jangkitan RSV berlaku sepanjang tahun namun kebiasaannya memuncak pada musim monsun antara Ogos hingga Januari.
Selain itu, Dr Gan berkata walaupun RSV sering dikaitkan dengan kanak-kanak, kesannya terhadap golongan warga emas juga amat membimbangkan khususnya mereka yang menghidap diabetes, penyakit jantung atau paru-paru kronik.
Ramai pesakit warga emas yang dijangkiti RSV mungkin tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit serius kerana gejala seperti keletihan, demam ringan dan kekeliruan sering disalah anggap sebagai simptom penyakit biasa atau tanda penuaan.
“Kebiasaannya, warga emas memandang ringan gejala awal. Malangnya, apabila mereka mendapatkan rawatan, keadaan mereka selalunya jauh lebih serius daripada apa yang mereka sangkakan.
“Vaksinasi bukan hanya untuk mereka yang sedang sakit. Ia juga untuk mereka yang sihat dan ingin kekal sihat. Bagi golongan yang paling berisiko, pencegahan membawa ketenangan fikiran,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Gayathri Mariappa berkata ancaman RSV menjadi pengalaman peribadi dan menyakitkan apabila anak lelakinya sendiri jatuh sakit pada usia hanya empat bulan.
“Saya masih ingat ketakutan yang menyelubungi diri. Walaupun saya seorang doktor, tiada apa yang dapat mempersiapkan saya untuk menghadapi perasaan tidak berdaya melihat anak sendiri sukar bernafas dan memerlukan bantuan oksigen serta rawatan nebulisasi.
“Detik itu mengubah sepenuhnya cara saya berbincang dengan pesakit mengenai langkah pencegahan,” katanya sambil menambah bahawa sejak itu beliau giat meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu hamil mengenai RSV dan kepentingan perlindungan awal melalui penjagaan kesihatan ibu.
Menurutnya ibu hamil di Malaysia sememangnya digalakkan untuk menerima vaksin seperti tetanus, influenza dan pertusis yang terbukti dapat memberikan perlindungan kepada ibu serta bayi.
Walaupun imunisasi khusus terhadap RSV semasa kehamilan belum diamalkan secara rutin di negara ini, pakar kesihatan global kini giat mengkaji potensinya.