• 2025-09-24 03:40 PM

ALOR SETAR: Sebuah rumah di Jalan Kangkong, Alor Setar, Kedah menjadi tumpuan harian dengan aroma masakan yang mula wangi seawal pukul 7 pagi.

Lima individu sibuk mempersiapkan bahan-bahan masakan di dapur untuk hidangan tengah hari yang akan dinikmati secara percuma.

Nasi sedang ditanak dalam periuk besar sementara bau kari semerbak memenuhi ruang premis yang dikenali sebagai Rumah Makan Percuma (RMP).

Semua kerusi dan meja sudah dilap bersih manakala deretan baldi plastik sarat dengan ulam-ulaman yang direndam dalam air bercampur ais bagi mengekalkan kesegaran.

Pengasas RMP Mazlina Kamarudin, 58, menekankan kepada lima staf tetap premis agar memasak dari hati yang ikhlas walaupun hidangan disediakan percuma.

“Walaupun percuma, layanan mesti macam pelanggan berbayar,” ujarnya kepada Bernama.

Menu bertukar setiap hari merangkumi nasi putih, lauk ayam pelbagai cara, sayur-sayuran dan ulam-ulaman lengkap dengan minuman.

“Sesiapa sahaja boleh datang makan, tidak ada beza kaum dan agama dengan syarat tidak boleh dibungkus sebaliknya semua kena makan di sini.”

Mazlina berkata RMP menerima sekitar 250 orang saban hari pada peringkat awal sebelum angka itu meningkat dengan cepat mencecah 600 orang sehari.

Premis ini beroperasi setiap hari kecuali Sabtu bagi memberi ruang kepada staf berehat manakala pada Ramadan mereka mengagih makanan siap bungkus sebagai juadah berbuka.

Kebanyakan pengunjung RMP ialah pelanggan tetap termasuk Izan Iskandar, 45, seorang juruelektrik yang bekerja sendiri.

Dia singgah makan di situ hampir lima kali seminggu kerana selain mengisi perut, lelaki ini juga sukakan suasananya.

“Suasana di sini memang meriah dengan pekerja kilang, pasar raya dan semua datang beratur lima ke 10 minit sebelum duduk semeja.”

“Ada Melayu, Cina, India, semua makan satu meja dan inilah semangat muhibah yang Malaysia perlukan.”

Hidup Izan tidak mudah kerana dia bertanggungjawab menjaga dua orang adik dengan pendapatan bulanan tidak seberapa.

Kewujudan RMP bagi lelaki ini ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan terutamanya dengan kos sara hidup semakin meningkat.

“Setiap kali saya datang pasti terlihat orang luar tampil menyumbang beras dan bahan mentah lain yang membolehkan RMP terus hidup.”

Mazlina dan suaminya, Jafri Ahmad, 61, merupakan tulang belakang Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi), sebuah syarikat ternakan dan pemprosesan ayam.

Jafri memulakan perniagaan itu sejurus tamat pengajian di Institut Teknologi Mara ketika dunia sedang menghadapi kemelesetan ekonomi.

Hari ini Ayam Bismi memiliki ladang ternakan dengan kapasiti 2.14 juta ekor dan mengeluarkan hampir satu juta ekor ayam siap diproses setiap bulan.

Kejayaan perniagaan ayam itulah yang membolehkan mereka membuka RMP dengan sekitar 60 peratus kos operasi ditanggung Ayam Bismi.

“Kalau Ayam Bismi untung, insya-Allah RMP pun boleh terus berjalan dan kami tak mahu hanya kaya sendiri.”

RMP lahir daripada rasa syukur atas rezeki serta kesedaran bahawa kelaparan boleh menyukarkan manusia beribadah dan berfikir dengan baik.

“Kami sendiri berasal daripada keluarga susah jadi kami faham benar peritnya hidup, bak pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.”

Mereka memilih menyediakan makanan percuma berbanding bantuan wang kerana masalah sebenar kadangkala ialah kesunyian dan ketidakmampuan memasak seorang diri.

Sejak hari pertama ditubuhkan, RMP menolak sumbangan tunai dengan tiada tabung di kaunter, tiada kod QR serta tiada kutipan derma.

“Kalau ada tabung, orang kaya boleh bagi seratus ringgit, tapi orang susah nak hulur seringgit pun rasa segan.”

RMP bagaimanapun mengalu-alukan sumbangan berbentuk barangan seperti beras, gula, minyak dan rempah ratus.

Ada juga penyumbang yang membayar terus kepada pembekal tempatan bagi menjadikan pengurusan audit lebih telus.

“Bila kita jaga niat dan cara, insya-Allah, Allah permudahkan dan sejak premis ini dibuka pada 2020, tak pernah lagi kami tak cukup dana.”

Mazlina mengakui di peringkat awal pembukaan mereka risau sekiranya RMP tidak mendapat sambutan.

“Hari pertama kami masak untuk 200 orang, siap bagi nombor giliran dan memang berdebar, tapi alhamdulillah semuanya berjalan lancar.”

Lima tahun beroperasi, RMP telah berkongsi rezeki dengan lebih ratusan ribu pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Bagi memastikan operasi RMP lancar, mereka sekeluarga hidup secara sederhana agar lebih banyak keuntungan Ayam Bismi dapat disalurkan.

“Kami tak pernah beli kereta mewah atau aset mahal yang membazir kerana duit keuntungan syarikat kami salurkan semula untuk projek macam RMP.”

Mazlina turut meluahkan kegusaran peningkatan kos bahan mentah akan menjejaskan usaha mereka untuk membantu seramai mungkin pengunjung.

“Dengan kos yang semakin meningkat dan jumlah pengunjung bertambah, membuatkan usaha kami agak terbatas dan kami cuma dapat sediakan setakat mampu.”

Yang benar-benar berbekas di hati pasangan ini ialah kisah-kisah manusia di meja makan mereka termasuk warga emas dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Cerita paling menyentuh hati Mazlina ialah kisah seorang suami yang tabah menjaga isterinya yang perlu menjalani dialisis.

“Setiap kali saya turun (ke RMP), ramai tadah tangan doakan saya dan suami serta ada yang sebut nama kami dalam doa mereka.”

Mazlina berharap RMP dapat terus beroperasi selagi Ayam Bismi berjalan dan ada rezeki lebih.

“Kalau ada peluang buka cawangan kedua di tempat lain yang lebih memerlukan, insya-Allah kami cuba.”

Walaupun ada badan bukan kerajaan menawarkan kerjasama, pasangan ini memilih mengekalkan pengurusan secara bersendirian.

“Kami ada seorang ‘uncle’ Cina berusia 70 tahun yang datang setiap hari, setia membantu menyusun meja dan kerusi sebagai simbol perpaduan.”

Setiap kali bulan Ogos dan September tiba, suasana di RMP bertambah meriah dengan pengunjung diraikan air minuman istimewa serta bendera kecil Jalur Gemilang.

“Bagi saya, jangan asyik tanya apa negara boleh bagi kita, tapi tanyalah apa kita boleh buat untuk negara.”

Mazlina berharap lebih banyak syarikat korporat tampil dengan inisiatif serupa membantu rakyat biasa mendepani peningkatan kos sara hidup. – Bernama