• 2025-10-19 03:52 PM

PORT DICKSON: Kegembiraan menyambut Deepavali bertukar duka bagi sebuah keluarga apabila rumah mereka di Jalan Mayung musnah akibat kebakaran.

R. Gobinath, 25, berkata kebakaran berlaku kira-kira 11 malam ketika dia sedang bekerja di Bandar Enstek, Nilai.

“Ketika kejadian saya di tempat kerja, keluarga lain berada di Cyberjaya,“ katanya kepada pemberita.

Dia mendapat panggilan kira-kira 12.30 tengah malam daripada jiran yang memaklumkan rumah mereka terbakar.

“Apabila sampai ke rumah, saya lihat semua telah musnah, kami sangat sedih rumah jadi sebegini,“ katanya.

Keluarga itu baru dua tahun menetap di rumah berkenaan dan tahun ini merupakan Deepavali kedua mereka merayakannya di situ.

Gobinath berkata mereka menanggung kerugian mencecah RM10,000 akibat insiden tersebut.

Persiapan Deepavali tahun ini dilakukan dengan lebih rapi termasuk kerja pengubahsuaian dapur dan pembelian perkakas elektrik baharu.

“Baju baharu bagi menyambut Deepavali turut rosak, kabinet televisyen yang baru dibeli dua hari sebelum kejadian pun musnah,“ katanya.

Musibah itu mendapat perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyalurkan bantuan kewangan.

Aminuddin menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga berkenaan dan berharap mereka diberi kekuatan.

“Saya turut menyeru masyarakat setempat terus menzahirkan keprihatinan dan semangat kebersamaan dengan membantu keluarga ini,“ katanya menerusi Facebook. – Bernama