KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menganjurkan rundingan pusingan kedua Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) pada November 2025, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pusingan pertama rundingan MEUFTA telah diadakan di Brussels pada 30 Jun hingga 4 Julai 2025, melibatkan 21 bab yang sedang dirundingkan dengan Kesatuan Eropah (EU).
“Selain bab tradisional seperti perdagangan barangan dan perkhidmatan, rundingan ini turut memasukkan isu baharu seperti sistem makanan mampan dan perdagangan lestari,“ kata MITI dalam kenyataan bertulis.
Perdagangan dua hala Malaysia-EU pada 2024 mencecah RM218.9 bilion, dengan eksport utama termasuk produk elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit, serta makanan diproses.
Pelaburan EU ke Malaysia bagi tempoh 2021-2024 pula berjumlah RM198.2 bilion.
Bagi rundingan Malaysia-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), pusingan pertama dijadualkan pada September 2025 selepas penandatanganan kenyataan bersama pada 26 Mei lalu.
Perdagangan dua hala Malaysia-GCC pada 2024 bernilai RM101.8 bilion, dengan eksport utama termasuk produk E&E dan minyak sawit.
“FTA ini bertujuan memperluas akses pasaran eksport Malaysia ke GCC serta mengurangkan defisit perdagangan,“ jelas MITI.
Pelaburan GCC ke Malaysia bagi tempoh sama berjumlah RM105.9 juta.