KUALA LUMPUR: Malaysia kini muncul sebagai negara rujukan kepada rantau ASEAN dan dunia dalam melaksanakan undang-undang progresif bagi sektor ekonomi gig selepas Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Negara.
Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan memaklumkan kelulusan rasmi itu menjadikan RUU berkenaan sebuah realiti yang membuktikan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan kebajikan dan perlindungan sosial pekerja gig di negara ini.
Pekerja gig akhirnya akan menikmati perlindungan yang sewajarnya sejajar dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi gig negara.
Fokus KESUMA selepas ini adalah untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi tujuan pewartaan dan penguatkuasaan akta tersebut.
Dewan Negara meluluskan RUU Pekerja Gig 2025 dengan majoriti suara bersetuju selepas dibahas oleh 18 senator sekali gus melakar sejarah baharu dalam melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.
Kelulusan ini menamatkan era tanpa perlindungan undang-undang terhadap golongan pekerja gig di Malaysia.
RUU berkenaan adalah hasil mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kementerian itu pada 4 Mac 2024 untuk merangka mekanisme khas bagi membela hak dan kepentingan pekerja gig.
Hampir 40 sesi libat urus melibatkan lebih 4,000 pemegang taruh dari seluruh negara telah dilaksanakan termasuk lebih 500 maklum balas atas talian.
Libat urus ini turut melibatkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak syarikat platform persatuan pekerja gig kesatuan sekerja akademik dan pertubuhan masyarakat.
Proses penggubalan turut diperkukuh dengan penanda aras antarabangsa dan pembentangan di Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Geneva yang mengesahkan kesesuaiannya dengan piawaian global.
RUU Pekerja Gig 2025 bertujuan memberikan perlindungan menyeluruh termasuk aspek kebajikan keselamatan sosial dan hak pekerja gig sebagai sebahagian daripada tenaga kerja penting dalam ekonomi negara.
RUU berkenaan mengandungi 112 fasal dalam 10 bahagian dengan penekanan kepada empat aspek utama iaitu definisi pekerja gig penubuhan majlis tiga hala untuk menentukan pendapatan dan syarat kerja mekanisme penyelesaian pertikaian serta perlindungan keselamatan sosial. – Bernama