Your Title

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, membuktikan langkah berani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membebaskan institusi Parlimen daripada cabang kuasa eksekutif.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata bahawa keputusan untuk mengasingkan kuasa Parlimen daripada pentadbiran Jabatan Perdana Menteri menunjukkan komitmen Anwar serta barisan Kabinet dalam melaksanakan agenda reformasi institusi selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 pada tahun 1992.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada PMX, Anwar serta Kabinet kerana berani ‘melepaskan’ Parlimen menjadi sebuah institusi yang bebas. Sejak pemansuhan akta ini pada tahun 1992, perdana menteri-perdana menteri selepas itu tidak mahu menyentuh isu kebebasan Parlimen kerana kuasa ini masih dalam genggaman mereka.

“Inilah kehebatan PMX. Beliau ‘walk the talk’, maknanya beliau bukan sahaja bercakap tentang kebebasan institusi Parlimen, malah merealisasikannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Johari turut menyifatkan usaha Anwar dalam melaksanakan undang-undang berkenaan sebagai sesuatu yang luar biasa kerana hanya mengambil tempoh lebih dua tahun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurut Johari, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 akan menyumbang kepada pembangunan demokrasi negara dan menjadi satu sejarah sekiranya ia diluluskan.

“Saya rasa ini akan menyumbang kepada pembangunan demokrasi negara kita... Ini adalah sistem pemisahan kuasa yang sepatutnya kita ikut dan ia juga akan menjadi satu peristiwa bersejarah dalam kehidupan kita, insya-Allah,” katanya.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam. RUU ini telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Feb lalu.

Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.

RUU ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh institusi Parlimen serta membuktikan komitmen Kerajaan MADANI terhadap reformasi institusi melalui pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Sementara itu, mengenai penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) dalam RUU berkenaan, Johari menjelaskan bahawa jawatankuasa majlis itu akan diwakili oleh ahli kerajaan dan pembangkang bagi memastikan keputusan yang dicapai adalah hasil persetujuan bersama.

Beliau berkata bahawa RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 turut menggariskan bahawa setiap keputusan MPP, sama ada dalam aspek pentadbiran atau kewangan, perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Agong masih mempunyai kuasa tertinggi dan boleh meminta MPP mengkaji semula keputusan yang dibuat. Ini bermakna keputusan MPP bukanlah mutlak tetapi tidak perlu dirujuk kepada Kabinet lagi,” katanya.