KOTA KINABALU: Sabah memperuntuk RM33 juta tahun ini bagi memperkukuh pembangunan modal insan terutama kursus serta latihan berkaitan kemahiran sains, teknologi dan inovasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sebanyak RM12.92 juta lagi diperuntuk bagi pelaksanaan kursus dan penyelidikan di institut pertanian serta pusat pengajian tinggi di Sabah.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi bantuan kepada Universiti Malaysia Sabah termasuk dari aspek kewangan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan yang berdaya saing.

“Selain itu membangunkan pengetahuan, menggalakkan inovasi, mengeluarkan produk bernilai tinggi, nilai untuk didagang serta meningkatkan imbangan dagangan yang lebih menguntungkan,“ menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata penyelidik harus memastikan segala penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan menjadi penentu sesebuah universiti terus relevan atau sebaliknya dengan mengambil kira beberapa faktor signifikan antaranya realistik serta mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara.

Beliau turut menyarankan mereka agar menjalankan penyelidikan yang menggabungkan pelbagai bidang serta menjalin kolaborasi dengan komuniti setempat dan pihak industri.

Hajiji berkata inisiatif mewujudkan budaya penyelidikan memerlukan suntikan semangat sama ada dalam bentuk pengiktirafan mahupun sumbangan dana.

“Saya berharap agar universiti terus menyemarakkan budaya penyelidikan dalam kalangan akademianya dan dibawa ke luar iaitu kepada masyarakat sejajar dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan agar para saintis turun ke 100 sekolah khasnya di pinggir dan luar bandar setiap bulan bagi mengadakan program pendedahan berkaitan sains,” katanya.