• 2025-07-24 04:36 PM

KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri pertama melaksanakan program Duta NADI bagi mempromosikan manfaat Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta menyebar luas advokasi literasi digital dalam kalangan komuniti khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebanyak 50 sukarelawan terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih menyertai program yang kali pertama diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama UMS dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

“Sabah dipilih antara lain kerana sewaktu pandemik (COVID-19), Sabah adalah negeri yang berdepan isu (infrastruktur) Internet dan kita berusaha gigih menyelesaikannya sama ada pemasangan menara, pencawang dan juga Wi-fi di kampus,“ katanya.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber menerusi Kempen Internet Selamat, dengan melibatkan persatuan penduduk dan pelajar sekolah di kawasan mereka.

Fahmi turut berharap keterlibatan pelajar dalam program berkenaan dapat menjadi platform menyalurkan cadangan penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi di Sabah.

Menurut MCMC, sukarelawan yang berjaya melepasi sesi saringan akan mengikuti Bengkel Training of Trainers (TOT) selama dua hari.

Mereka akan didedahkan dengan asas kesukarelawanan, objektif NADI, dan kandungan utama Kempen Internet Selamat.

Sebanyak 25 NADI telah dikenal pasti dan dipadankan dengan kampung halaman 50 sukarelawan UMS bagi memastikan pendekatan lebih mesra komuniti. – Bernama