KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendengar pengakuan bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dari 2020 hingga 2021.
Pengakuan itu disahkan oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Dalam Negeri Nik Noraini Nik Ya yang bertanggungjawab terhadap pengurusan perkhidmatan anggota di kementerian berkenaan.
Sebagai saksi pendakwaan ketiga, Nik Noraini berkata Sayed Amir Muzzakkir memegang jawatan itu dari 18 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021 dengan tugas dan tanggungjawabnya berdasarkan arahan langsung Menteri Dalam Negeri pada masa itu.
Nik Noraini berkata demikian menerusi pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan 350,000 ringgit.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Atirah Mohd Azuarizanuddin adakah Nik Noraini mengenali Sayed Amir Muzzakkir, saksi itu berkata beliau tidak mengenali lelaki terbabit secara peribadi namun mengetahui kewujudannya sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri.
Nik Noraini juga memaklumkan bahawa penamatan perkhidmatan Sayed Amir Muzzakkir pada 16 Ogos 2021 adalah disebabkan rombakan Kabinet yang berlaku selepas pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bertukar.
Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan 350,000 ringgit daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd Wan Azhar Mohamed Yusof.
Wang itu didakwa sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk Polis Diraja Malaysia bernilai 381,112,042.44 ringgit.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini pada 4 petang, 4 Disember 2020, dan 3.30 petang, 16 Disember 2020.
Sayed Amir Muzzakkir juga berhadapan pertuduhan meminta suapan 350,000 ringgit daripada individu sama untuk tujuan yang serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, pada 4 petang awal Disember 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau 10,000 ringgit mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung Khamis ini. – Bernama