KUALA LUMPUR: Sarawak sedang memperhebat usaha untuk mengintegrasikan bekalan tenaganya secara lebih efisien dalam Rangkaian Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata negeri di Malaysia Timur itu telah membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia sejak enam tahun lepas, dan kini sedang dalam proses untuk membekalkan tenaga kepada Brunei.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah meminta saya mengkaji kemungkinan membekalkan tenaga dari Sarawak ke Sabah dan seterusnya ke Brunei.
“Sarawak akan memainkan peranannya dalam menyumbang kepada Rangkaian Kuasa ASEAN,“ katanya semasa sesi Sustainable Leadership Fireside Chat – Leading ASEAN’s Sustainable and Digital Frontier bersempena Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) di sini, hari ini.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa Sarawak kini giat memperkukuh infrastruktur grid elektriknya bagi mempertingkat pengagihan tenaga ke seluruh negeri dan ke luar.
Sarawak menyasarkan untuk menjana 10 gigawatt (GW) tenaga menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia Ng Wei Wei.
UOB Malaysia merupakan penaja utama AWES 2025, manakala Kuok Brothers Sdn Bhd bertindak sebagai rakan pemerkasaan.
Mengenai wanita dan kepimpinan, Premier Sarawak berkata peranan kepimpinan seharusnya diberikan berdasarkan merit dan kelayakan, bukan jantina. Beliau menegaskan bahawa penerimaan masyarakat terhadap wanita sebagai pemimpin adalah langkah penting ke hadapan.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada Indira Gandhi dari India dan Benazir Bhutto dari Pakistan yang masing-masing pernah menjawat jawatan sebagai perdana menteri di negara mereka.
Kedua-dua tokoh ini katanya, telah membuktikan bahawa meskipun wujud prasangka dalam masyarakat, kepimpinan yang berkesan mampu mengatasi batasan berasaskan gender.
Beliau turut berkata bahawa penerimaan masyarakat terhadap wanita dalam peranan kepimpinan amat penting memandangkan sesetengah budaya di Asia masih berdepan isu bias jantina. Namun, katanya, tokoh seperti Indira Gandhi dan Benazir Bhutto membuktikan bahawa perubahan ke arah lebih inklusif adalah sesuatu yang boleh dicapai.
AWES 2025 yang julung kali diadakan selama dua hari bermula Sabtu, berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di bawah Pengerusi ASEAN Malaysia 2025. Lebih 700 delegasi yang mewakili kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat sivil dari seluruh ASEAN telah menghadirinya.
Bertemakan “Empowering Women, Energising ASEAN: Pioneering Economic Integration for a Resilient Tomorrow”, sidang kemuncak ini menekankan keperluan mendesak untuk meletakkan wanita di barisan hadapan dalam transformasi ekonomi ASEAN, terutamanya dalam menangani cabaran semasa seperti perang tarif global, transformasi digital dan pembangunan mampan.
Ia turut menampilkan sesi perbincangan, percambahan fikiran strategik, bengkel Kepimpinan, serta program bimbingan kepimpinan.