SARAWAK Delta Geopark bukan hanya destinasi pelancongan, tetapi juga khazanah saintifik yang memaparkan evolusi geologi, biodiversiti, dan sejarah masyarakat tempatan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan geopark ini memenuhi prinsip UNESCO.
“Kerjasama dengan institusi akademik, pembangunan infrastruktur geopelancongan, serta program pendidikan untuk belia adalah antara langkah utama kami. Generasi muda adalah penjaga warisan ini pada masa depan,” katanya sempena Misi Penilaian Lapangan UNESCO di sini.
Len Talif, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sarawak Delta Geopark, menyifatkan proses penilaian sebagai permulaan transformasi.
“Sama ada berjaya atau tidak, usaha ini telah menyatukan pelbagai pihak dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan,” ujarnya.
Sarawak Delta Geopark berpotensi menyertai 229 geopark global UNESCO sekiranya mendapat kelulusan.