KUCHING: Sarawak diiktiraf sebagai salah satu daripada 36 kawasan Kluster Perindustrian Peralihan di dunia dan satu-satunya di Malaysia, menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pengiktirafan itu diberikan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) berpusat di Davos, Switzerland, susulan komitmen negeri dalam pembangunan tenaga hijau.
“Bulan lepas saya dijemput berucap di WEF Asia - Summer Davos 2025, tetapi saya menghantar wakil iaitu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi kerana isteri saya uzur. Namun, mereka mahukan saya sendiri berucap, dan slot itu akhirnya diberikan kepada Perdana Menteri Singapura (Lawrence Wong),“ katanya semasa majlis pecah tanah projek Jambatan Marina di Miri.
Beliau menegaskan kedudukan Sarawak kini di peringkat global adalah hasil dasar pembangunan mampan dan mesra alam.
“Minggu lepas di Jepun, mereka kagum dengan pendekatan Sarawak dalam penggunaan tenaga baharu. Kita perlu pertahankan kedudukan ini sambil terus memanfaatkan rakyat, seperti projek Jambatan Marina bernilai RM400 juta ini,“ jelasnya.
Jambatan Marina dijangka dianugerahkan kepada kontraktor pada suku keempat tahun ini dan akan memendekkan jarak perjalanan ke Pulau Melayu dan Lutong daripada 10 km kepada dua km.
Sementara itu, Abang Johari mendedahkan eksplorasi di Adong, Miri menunjukkan potensi sumber asli, manakala kerajaan merancang pembangunan infrastruktur untuk memperkukuh Miri sebagai hab pelancongan utama. - Bernama