GEORGE TOWN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan dalam kejadian di kawasan belakang Balai Polis Bayan Lepas, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal, berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, sepucuk pistol turut ditemukan pada mayat mangsa berusia 51 tahun itu yang bertugas di balai berkenaan.
“Anggota polis itu meninggal dunia dengan kesan tembakan di leher, dada dan kepala serta pihak polis turut menemukan sepucuk pistol berada bersamanya,“ katanya, dalam kenyataan, semalam.
Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan.
Menurutnya, pihak polis menasihatkan agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut. - Bernama