the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 22, 2026
29.2 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sarung kaki tertera kalimah Allah: Agong murka, titah tindakan keras

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka dan menitahkan supaya tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap pihak yang didapati bersalah oleh pihak berkuasa dalam isu penjualan sarung kaki tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini bertitah kalimah Allah dipandang sangat tinggi dalam sanubari umat Islam, dan tidak sepatutnya timbul perkara yang boleh membangkitkan kemarahan terutamanya dalam bulan Ramadan.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,“ titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim juga bertitah adalah tidak masuk akal untuk sebuah syarikat yang kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara tersebut.

Selain itu, Sultan Ibrahim bertitah sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lepas, Seri Paduka Baginda telah mengingatkan semua lapisan masyarakat untuk tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-raja.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah Seri Paduka Baginda.

Minggu lepas video dan tangkap layar gambar sarung kaki yang tertera kalimah Allah tular di media sosial yang didakwa dijual di sebuah kedai rangkaian serbaneka di Petaling Jaya, Selangor sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pihak terlibat telah membuat permohonan maaf dan polis setakat semalam, mengesahkan pihaknya telah membuka dua kertas siasatan dan menerima 42 laporan polis dari seluruh negara berhubung isu tersebut.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings