• 2025-07-31 02:26 PM

KUALA LUMPUR: Satu juta unit rumah mampu milik akan dibina Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pemaju swasta dalam tempoh 2026 hingga 2035 bagi membolehkan sebanyak mungkin rakyat mendiami rumah selesa dan selamat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini berkata penyediaan rumah mampu milik itu dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif seperti Program Residensi MADANI.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pembinaan rumah mampu milik turut dilaksanakan menerusi Program Perumahan Penjawat Awam, Program Bantuan Bina Baharu Rumah, Program Perumahan Mampu Milik dan Rumah Bakat MADANI.

“Kerajaan terus komited untuk memastikan akses kepada kediaman yang berkualiti, mampu milik dan terangkum,” katanya.

Anwar berkata sehingga kini, sebanyak 180,000 unit rumah telah siap dan 235,000 lagi sedang dibina oleh kerajaan.

“Namun begitu, isu ketidaksepadanan antara permintaan dan penawaran serta harga rumah yang tidak selari dengan tahap pendapatan rakyat terus membelenggu dan perlu ditangani sebaiknya,” katanya.

Perdana Menteri berkata inisiatif seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Skim Sewa untuk Beli (RTO) akan diperluaskan bagi membolehkan lebih banyak rakyat termasuk yang berpendapatan rendah dan sederhana mampu memiliki rumah sendiri.

“Peralihan kepada teknologi seperti Industrialised Building System (Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Integrated Management (Pengurusan Bersepadu Bangunan) akan membantu mempercepat pelaksanaan dan mengurangkan kos pembinaan rumah, termasuklah perumahan awam,” katanya.

Anwar berkata inisiatif seperti Kota MADANI di Putrajaya melibatkan kerjasama kerajaan dengan Putrajaya Holdings, akan diperluaskan sebagai model pembangunan perumahan mampu milik yang menterjemah konsep perbandaran ‘umran hadhari.

“Konsep ini membolehkan rakyat bukan sahaja memiliki tempat tinggal, tetapi juga menikmati kehidupan dalam sebuah bandar yang menggabungkan kemajuan dengan nilai, kemodenan dengan akhlak dan teknologi dengan kemanusiaan,” katanya.

Pelaksanaan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” adalah ikhtiar kerajaan untuk membuat pembaharuan terhadap agenda pembangunan sosioekonomi negara yang menyeluruh selaras dengan kerangka Malaysia MADANI - BERNAMA