• 2025-08-01 12:22 PM

KUALA LUMPUR: Bermula dengan keinginan pakaian yang praktikal di tempat kerja namun tampil patriotik, Dr Nisha Puvan mencetuskan trend fesyen “senyap” di hospital menerusi penghasilan pakaian seragam kerja atau “scrub” daripada batik.

Pakar perubatan dalaman dengan minat khusus dalam bidang gastroenterologi yang kini bertugas di sebuah hospital kerajaan itu berkata idea tersebut bermula sebagai satu projek minat peribadi.

“Memakai corak batik yang terang bertenaga memberikan semangat positif kepada saya dan turut mewujudkan aura ceria bersama-sama rakan sekerja serta pesakit,” katanya dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau merupakan pengasas kepada jenama pakaian tempahan khas craftbynishapuvan, yang beroperasi di Subang Jaya, Selangor.

Katanya idea itu tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020 semasa beliau menghasilkan topeng muka daripada batik.

Namun titik perubahan sebenar berlaku pada Ogos 2023 apabila Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan arahan semua penjawat awam termasuk doktor di hospital kerajaan, berpakaian batik pada setiap Khamis.

Dari situ beliau mula menghasilkan scrub batik untuk kakitangan hospital, dan bagi memastikan pakaian seragam itu tidak tidak menjejaskan aspek praktikaliti dan kebersihan, Dr Nisha mengkaji sendiri pelbagai jenis fabrik dengan tumpuan pada kain yang memenuhi piawaian kawalan jangkitan, selesa dipakai, tahan lama dan tidak luntur warna.

“Saya memakainya setiap hari - menyesuaikan saiz poket, ketebalan kain malah menguji daya tahan warna,” katanya.

Bagi beliau, kunci utama pakaian itu ialah keberfungsian.

“Doktor sentiasa bergerak, dari klinik ke wad ke situasi kecemasan, dan kami bawa banyak item,” katanya.

Oleh itu katanya, beliau menghasilkan scrub berpoket besar dengan tambahan ciri-ciri khas tanpa menjejaskan gaya.

Hari ini, scrub rekaan beliau dipakai oleh ramai doktor di hospital kerajaan dan swasta malah klinik persendirian di seluruh negara.

Berhasrat untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi membekalkan scrub batik ke hospital awam secara lebih meluas, setakat ini beliau hanya menerima tempahan pukal daripada beberapa jabatan tertentu di hospital kerajaan.

Di sesetengah hospital daerah, ada jabatan yang menempah scrub dengan warna-warna tertentu seperti biru untuk Isnin dan hijau dipakai pada Selasa.

Kumpulan pelanggannya termasuk golongan profesional Malaysia yang bekerja di luar negara, khususnya di United Kingdom dan Australia.

“Kebanyakannya rakyat Malaysia di luar negara ingin memakai sesuatu yang dapat menghubungkan mereka dengan tanah air. Batik memberikan mereka satu kebanggaan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Menguruskan sendiri keseluruhan perniagaannya termasuk menerima dan menghantar tempahan, Dr Nisha bagaimanapun mengupah dua tukang jahit bagi membantunya. Malah, pasangan anak kembar perempuannya yang berusia empat tahun turut terlibat dalam proses kreatif.

“Kalau corak tidak menarik, mereka akan beritahu tidak cantik. Ini cara saya memperkenalkan warisan Malaysia kepada mereka,” katanya, menambah selain scrub, craftbynishapuvan turut menghasilkan sari, ceongsam, baju Melayu serta lehenga (pakaian tradisional India terdiri daripada skirt labuh, blaus dan duppata).

Memahami keperluan pakaian menutup aurat dalam kalangan orang Islam, jenama itu memperluas rangkaian scrub dengan menampilkan lengan boleh dilaras, tunik lebih labuh dan potongan leher lebih tinggi.

craftbynishapuvan turut mengutamakan kelestarian dengan menggunakan fabrik deadstock – iaitu lebihan bahan daripada pengeluaran berskala besar – bagi mengurangkan pembaziran.

Dr Nisha hanya menguruskan perniagaan selepas tamat waktu kerja di hospital, selalunya pada sebelah malam. “Apabila di hospital, saya beri sepenuh tumpuan kepada pesakit.”

Melihat batik sebagai satu cara beliau menzahirkan patriotisme, Dr Nisha berkata: “Setiap kali saya melihat doktor dengan scrub batik, bukan sahaja di hospital tempat saya bertugas tetapi juga tempat-tempat lain, ia mengingatkan saya bahawa warisan Malaysia masih ‘hidup’, boleh disesuaikan dalam apa juga situasi dan dipakai dengan penuh kebanggaan.”- BERNAMA