JELEBU: Sektor perikanan Malaysia merekodkan pengeluaran berjumlah 1.3 juta tan metrik sejak Januari hingga bulan ini sekali gus berupaya menjamin sekuriti makanan dalam negara.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata jumlah itu merangkumi subsektor perikanan tangkapan, akuakultur dan perikanan darat di seluruh negara.

“Sebanyak 400,000 tan metrik lagi akan capai tahap menyamai rekod tahun lepas iaitu 1.79 juta tan metrik dan dijangka akan terus meningkat. Sekuriti makanan di negara ini sekarang mencapai 92 peratus, sektor akuakultur akan jamin peningkatan bekalan ikan dalam negara selain ikan sumber laut.

“Kita juga akan meningkatkan kadar pengeluaran benih dari segi kadar tumbesarannya seperti udang galah ada sistem tertentu digunakan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Usahawan MyAgropreneur Perikanan (myAP) dan MyKomuniti Perikanan (myKP) Zon Selatan di sini hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Wan Muhammad Aznan berkata menjelang 2030, kerajaan menyasarkan sumbangan menerusi sektor perikanan sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan pengeluaran perikanan negara dengan antara lain perlu diterajui aplikasi teknologi moden untuk meningkatkan produktiviti seiring perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Beliau berkata penyediaan sumber tenaga kerja melalui penglibatan golongan belia yang kompeten juga perlu dipergiat dalam pelbagai sektor khususnya industri penternakan.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor akuakultur di Negeri Sembilan merupakan penyumbang terbesar pengeluaran perikanan negeri meliputi 90.78 peratus (5,587.4 tan metrik) secara keseluruhan yang berjumlah RM73,867,000 bagi tahun lepas melibatkan 431 pengusaha berdaftar.

Peruntukan pembangunan sebanyak RM302,400 juga, katanya telah disalurkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan bertujuan memperkasakan tahap keusahawanan, pembangunan komuniti dan kemahiran teknikal kepada 57 peserta projek myAP dan myKP.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata larangan pengambilan kupang dan kerang-kerangan atau dwicengkerang di negeri ini dan Melaka masih dikuatkuasakan demi keselamatan pengguna, susulan dicemari biotoksin berbahaya serta tidak selamat dimakan pada April lepas.

Menurut Wan Muhammad Aznan pihaknya akan mengemas kini maklumat terkini berhubung perkara itu dari masa ke masa susulan makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur masih mengesan biotoksin melebihi kadar had pengambilan yang selamat, selain kehadiran plankton.

“Setakat ini, 16 kali sampel kupang dan air diambil. Kita ada prosedur operasi standard yang memperuntukan tempoh dua bulan sebagai tempoh bertenang bagi memastikan kerangan ini benar-benar selamat dimakan dan dijangka awal Oktober untuk ketahui sama ada boleh dimakan atau tidak,“ katanya.