ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 43 orang, termasuk 15 kanak-kanak maut dalam kejadian banjir di Kerr County, negeri Texas, Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan seorang pegawai pada Sabtu.
Syerif Larry Leitha berkata 15 daripada mangsa adalah kanak-kanak, sambil memaklumkan lima kanak-kanak dan 12 dewasa masih belum dikenal pasti.
Pengurus Bandar Kerrville, Dalton Rice memaklumkan usaha mencari dan menyelamat kekal menjadi keutamaan di tengah Texas dengan pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang hilang di sepanjang Sungai Guadalupe, menurut CNN.
“Kami benar-benar memberi tumpuan kepada keselamatan nyawa.
“Keutamaan kami ialah usaha mencari dan menyelamat setiap individu yang terlibat, dan kami akan meneruskan operasi sepanjang malam untuk memastikan ia dapat dilaksanakan,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata 27 kanak-kanak dari Kem Mystic masih hilang ketika operasi menyelamat diteruskan susulan limpahan air deras Sungai Guadalupe yang melanda tapak perkhemahan pada Jumaat.
“Kami telah menyelamatkan ratusan orang dari kem ini sepanjang hari,” kata Rice.
Banjir yang telah meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa itu bermula lewat Khamis dan berterusan hingga awal pagi Jumaat, apabila hujan lebat menyebabkan Sungai Guadalupe melimpah dengan mencapai paras lebih 11.8 meter.