SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 bagi memperjelas kriteria pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pindaan ini turut menetapkan bahawa anggota Jawatankuasa Fatwa, Tauliah, dan Rayuan Tauliah mestilah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
RUU tersebut diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam sidang DUN hari ini.
Pindaan ini melibatkan 10 fasal dalam enakmen sedia ada.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah, menjelaskan bahawa pindaan ini bertujuan memastikan pentadbiran Islam di Selangor selaras dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ini bagi mencegah pelantikan individu yang berpandangan ekstrem, liberal, atau menyeleweng daripada prinsip Maqasid Syariah,“ katanya.
Proses penggubalan RUU ini melibatkan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Jabatan Mufti, dan Jabatan Kehakiman Syariah.
Pindaan ini juga memenuhi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 14 Mac lalu yang menekankan kepentingan memperjelas kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam pentadbiran agama Islam di negeri ini. - Bernama