SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta untuk menyiasat dakwaan berlaku aktiviti tidak bermoral semasa penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di sini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu diambil berat dan tindakan tegas perlu diambil, jika dakwaan tersebut didapati benar setelah penyiasatan secara menyeluruh dilakukan.
“Laporan baru diterima, saya dah minta JAIS siasat dan ambil tindakan tegas sebab ia dianjurkan secara tertutup di dalam dewan, tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri.
“... namun saya prihatin dengan apa yang didedahkan kita perlu melakukan siasatan yang menyeluruh dan ambil tindakan tegas kepada sesiapa yang terlibat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Turath Islami 2025, di sini hari ini.
Ditanya jika pihak pengurusan pusat konvensyen itu akan dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut, Amirudin berkata ia perlu terlebih dahulu diserahkan kepada siasatan pihak berkuasa.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat penganjuran satu program motivasi rumah tangga di sebuat pusat konvensyen di sini, September tahun lepas, yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan syirik.- BERNAMA