BANGI: Kerajaan Selangor bersedia membincangkan penggabungan dua projek loji insinerator waste-to-energy (WTE) di Batu Arang, Rawang dan Jeram, Kuala Selangor bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal secara lestari di negeri itu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak berkepentingan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS), bagi meneliti kemungkinan penyatuan projek-projek berkenaan.
“Kita sedia berbincang dengan UKAS dan KPKT untuk menggabungkan kedua-dua projek itu menjadi satu, sama ada di kawasan sekitar Rawang atau Jeram.
“Jika dapat digabungkan, saya percaya ia boleh mengurangkan kesan (projek WTE) terhadap alam sekitar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata pendekatan menyatukan kedua-dua projek itu juga
“Jumlah sampah kita setiap hari kini mencecah 8,000 tan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang meneliti kemungkinan membuka tapak WTE baharu di Tanjung 12, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian kawasan.
“Perbincangan masih belum dimulakan, namun sebagai langkah ke hadapan, kita perlu membina loji waste-to-energy demi kelestarian pengurusan sisa di negeri ini,” katanya.
Menurut Amirudin, projek-projek berkenaan masih berada pada peringkat awal penilaian, termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dijangka mengambil masa kira-kira setahun.
Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini telah meluluskan secara dasar cadangan pembangunan loji WTE di Batu Arang pada November 2022.
Loji yang dicadang dibina di atas tanah seluas 99.15 hektar itu dijangka mampu memproses sehingga 2,400 tan sampah sehari.
Bagaimanapun, projek tersebut mendapat bantahan daripada penduduk setempat kerana dikhuatiri memberi kesan terhadap persekitaran, sosial dan kesihatan.