• 2025-07-08 05:13 PM

PUTRAJAYA: Keputusan pemilihan penempatan bagi 2,248 pegawai perubatan kontrak Gred UD10 yang telah ditawarkan lantikan tetap melalui sistem ePlacement boleh disemak bermula hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan bahawa calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan perlu mengisi borang Google Form yang disediakan dalam sistem ePlacement selepas keputusan dikeluarkan.

“Tempoh rayuan dibuka dari 8 Julai, 10 pagi hingga 14 Julai, 5 petang ... hanya rayuan yang dikemukakan dengan dokumen lengkap dalam tempoh yang ditetapkan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan dan Pertukaran (JKPP),“ jelas beliau.

Rayuan yang dikemukakan di luar tempoh tersebut tidak akan dipertimbangkan bagi memastikan proses penempatan berjalan lancar.

Dzulkefly turut menekankan bahawa keputusan rayuan akan diumumkan pada 19 Ogos dan boleh disemak melalui sistem yang sama.

Beliau juga menyentuh mengenai cadangan CUEPACS untuk menggunakan sijil cuti sakit digital sebagai langkah membanteras sijil palsu.

“Perkara itu sedang diteliti KKM,“ katanya. – Bernama