KUALA LUMPUR: Sambutan tahun baharu 1447 Hijrah perlu dijadikan momentum untuk memperkukuh perpaduan, menanam nilai kasih sayang, dan membina negara yang lebih maju serta tahan cabaran.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Awal Muharam adalah masa terbaik untuk bermuhasabah, memperbaharui azam, dan memperkasa semangat hijrah ke arah kebaikan sebagai individu, keluarga, masyarakat, dan negara.
“Insya-Allah, semoga tahun baharu ini membawa limpahan rahmat, keberkatan dan kekuatan buat kita semua agar terus melangkah dengan yakin dan tawakal,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) esok.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat merasmikan sambutan bertemakan “Membangun Ummah MADANI”.