CHUKAI: Sebanyak sembilan pelajar di sebuah sekolah menengah di sini yang dipercayai terbabit dalam kes pukul seorang pelajar lelaki bulan lepas direman selama tiga hari bermula pada hari ini hingga Rabu.

Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata perintah reman itu dikeluarkan Hakim Wan Suhaila Mohd bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dijalankan.

Beliau berkata pelajar berumur antara 15 hingga 18 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 tengah hari semalam selepas pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 14 tahun.

“Kejadian itu dikatakan berlaku apabila seorang daripada suspek tidak berpuas hati kerana mangsa masih menyimpan gambar bekas kekasihnya yang juga kekasih suspek.

“Mangsa mendakwa dia dipukul beberapa pelajar pada 27 dan 28 Mei sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan di kepala dan belakang badan,“ katanya ketika dihubungi.