SHAH ALAM: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mempunyai ‘senjata rahsia’ apabila enggan mendedahkan rejim latihan baharu, dalam menghadapi Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2024.

Bekas juara dunia 2022 Aaron memaklumkan, corak latihan baharu yang diperkenalkan barisan kejurulatihan itu, turut bagi mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024, yang akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Aaron-Wooi Yik ketika ini berada di kedudukan kelima dalam ranking dunia dan ‘Race to Paris’.

“Saya rasa kesemuanya berjalan lancar mada ini pada ketika kita menjalani program latihan untuk persediaan Sukan Olimpik, jadi kita sedang menyesuaikan diri dengan program latihan baharu... tetapi kita tidak boleh ceritakan.

“Ini mungkin kejohanan berpasukan kali ke-10 atau lebih yang telah disertai oleh kami. Saya rasa bahagian beregu lebih seronok, sebab kita boleh main scratch pair dan rakan sepasukan ada di belakang untuk beri sokongan,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

BATC itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City bermula esok sehingga 18 Feb.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata barisan kejurulatihan masih berbincang mengenai pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan pertama Kumpulan B, esok.

Beliau berkata perancangan rapi perlu dilaksanakan, memandangkan Malaysia terlebih dahulu akan bertemu dua negara mudah iaitu Brunei (esok), Kazakhstan (14 Feb), sebelum bertemu lawan sebenar Taiwan (15 Feb).

“Tadi ada perbincangan dari kumpulan perseorangan siapa yang akan diturunkan. Kita tengok kalau Lee Zii Jia mahu main dan uji gelanggang, jadi kita akan turunkan.

“Pemain beregu pula mungkin kita akan bincang petang ini, sebab mungkin mahu sesuaikan diri dengan gelanggang... lagipun kita bukan cakap Kazakhstan dan Brunei itu mudah, tapi kalau boleh menang 5-0 pasti mahu yang terbaik,” katanya.

Ditanya sekiranya barisan kejurulatihan mempunyai sebarang perancangan untuk menurunkan scratch pair, Rexy berkata secara ringkas pihaknya masih belum mengetahui sekiranya mereka akan menggunakan strategi berkenaan.

Cabaran Malaysia yang turun sebagai juara bertahan digalas empat pemain perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe, manakala Aaron-Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, bagi saingan beregu. –Bernama