SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas terlibat dengan kemalangan melibatkan enam kenderaan di susur keluar ke Bukit Raja, Lebuhraya Persekutuan di sini pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 7.47 pagi dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian mendapati enam kenderaan berlanggar dari belakang secara berturut-turut.

“Akibat kejadian, tiga mangsa tersepit dengan dua daripadanya yang cedera parah telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Seorang lagi mangsa yang berusia 57 tahun dikeluarkan oleh pihak bomba, disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan, dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Bernama