KUALA LUMPUR: Seramai 480 asnaf telah menjalani program keusahawanan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) setakat November lepas, melepasi sasaran awal 450 asnaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program itu merupakan salah satu daripada 34 skim bantuan yang diperkenalkan MAIWP bagi tujuan membawa kelompok asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.
Katanya pencapaian itu merupakan sebahagian daripada gerak kerja di bawah Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah) yang telah menunjukkan perkembangan positif.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia disiarkan RTM hari ini menerusi segmen Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurutnya lain-lain pencapaian di bawah gerak kerja Pelan Transformasi itu adalah dari segi usaha memendekkan tempoh memproses pensijilan halal.
“Inisiatif memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 90 hari kepada 30 hari ini juga merekodkan pencapaian yang memberangsangkan iaitu dalam tempoh Mac hingga 31 Okt lepas, 63 peratus daripada permohonan pensijilan halal telah dikeluarkan berbanding sasaran ditetapkan iaitu sebanyak 60 peratus.
“Dalam konteks ini juga, kita juga perlukan kerjasama daripada pihak industri memastikan pengiktirafan halal Malaysia yang diberikan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan terus dipandang tinggi selain membantu mereka mendapatkan sijil halal dalam kadar segera, kerana proses yang lama akan memberi kesan kepada perniagaan mereka,” katanya.
Mohd Na’im berkata Al-Falah yang diperkenalkan bagi tempoh lima tahun dari 2023 hingga 2027 bertujuan menjayakan visi gagasan ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang mengandungi lima teras, 10 fokus gerak kerja dan lima nilai asas.
“Kita sudah ada perancangan yang jelas melalui Al-Falah, saya harapkan agar satu pentadbiran agama Islam yang efisien yang dapat memenuhi kehendak masyarakat dapat dicapai,” katanya.–Bernama