SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua gudang pembungkusan dan penghantaran barang jualan e-dagang di Jalan Kebun di sini yang dipercayai melindungi serta menggaji pekerja warga asing tanpa izin, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata 37 pendatang tanpa izin termasuk wanita ditahan daripada 87 individu yang diperiksa dalam serbuan yang bermula 12 tengah hari.

“Mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Sri Lanka dan Nepal yang dipercayai melakukan kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas perjalanan.

“Pada masa sama, JIM turut mengesan kesalahan majikan menggajikan serta melindungi pekerja warga asing tanpa izin dan mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,“ katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.

Dalam hal itu, Jafri memberi peringatan kepada majikan supaya tidak menggajikan pendatang tanpa izin dan JIM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

Beliau juga mengingatkan majikan agar tidak melantik mana-mana ejen dalam usaha mendapatkan permit dan dokumen pekerja asing sebaliknya datang terus ke pejabat JIM bagi urusan tersebut.

“Majikan dinasihatkan berurusan terus dengan JIM kerana kita tidak melantik atau berurusan dengan mana-mana ejen (bagi pengambilan pekerja warga asing),“ katanya.

Jafri berkata sejak Jan lepas hingga kini, sebanyak 31,196 pendatang asing tanpa izin ditangkap manakala 1,018 majikan telah ditahan berhubung kesalahan tersebut.

Terdahulu, dalam serbuan ke atas premis tersebut menyaksikan beberapa pekerja warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi di celah-celah susunan kotak dalam gudang itu serta dalam tandas.

Bagaimanapun, usaha itu berjaya digagalkan hasil kepungan dan pemeriksaan ketat JIM di kedua-dua premis.