SHAH ALAM: Bandar raya Shah Alam kini melangkah ke fasa pembangunan baharu dengan pendekatan data, teknologi dan kesejahteraan rakyat.
Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata perkhidmatan MBSA dapat diperkasakan melalui Pelan Strategik Smat Shah Alam 2035 dengan penggunaan data serta pendigitalan.
Beliau menyebut pelaksanaan Smart Integrated Command Centre, parkir pintar dan pengurusan sisa sebagai contoh inisiatif pendigitalan tersebut.
“Pelaksanaan inisiatif ini dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran dalam memastikan Shah Alam kekal sebagai bandar yang responsif, mesra rakyat dan berpaksikan inovasi.”
Agenda bandar rendah karbon juga dibudayakan melalui Rangka Tindakan Bandar Rendah Karbon Shah Alam dengan fokus kepada pengurangan jejak karbon.
Forum Perbandaran Shah Alam 2025 dilaksanakan selama dua hari di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan forum tersebut yang menjadi platform utama membahas perancangan pembangunan.
Mohd Fauzi berkata forum ini bertujuan meraikan pencapaian MBSA yang baru menyambut Ulang Tahun ke-25 Jubli Perak pengisytiharan Shah Alam sebagai bandar raya.
Program ini menghimpunkan lebih kurang 2,000 peserta dari pelbagai bidang untuk membincangkan isu pembangunan, masyarakat, ekonomi dan teknologi.
Dengan tema ‘Bandar Kita, Komuniti Kita’, usaha ini diharapkan dapat menjadikan Shah Alam sebagai model rujukan bagi bandar raya lain. – Bernama