SHAH ALAM: Siasatan kes serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menjelaskan langkah ini diambil bagi memastikan siasatan dijalankan secara lebih menyeluruh dan berpusat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menyalurkannya ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,“ katanya.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai demi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses siasatan,“ tambah Shazeli dalam kenyataan rasmi.
Kejadian serangan itu dilaporkan berlaku pada Rabu lepas kira-kira pukul 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi mendakwa dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar menaiki motosikal terlibat dalam kejadian tersebut.
Salah seorang daripada mereka dikatakan mengheret anak Rafizi sebelum mencucuk sesuatu menggunakan jarum suntikan.
Polis kini meminta kerjasama orang ramai untuk membantu siasatan berkenaan. - Bernama