PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket ejen haram yang menawarkan perkhidmatan imigresen melalui media sosial yang beroperasi selama sebulan, berikutan penahanan lapan individu dalam satu operasi khas pada 15 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata berdasarkan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah melakukan serbuan di tujuh lokasi berbeza iaitu Cheras, Mid Valley City, Desa Pandan, Taman Midah, Sungai Besi, Sepang dan Bandar Enstek.

Beliau berkata empat daripada yang ditahan adalah warga tempatan dengan dua daripada mereka merupakan dalang utama sindiket itu.

“Turut ditahan tiga warga China dengan dua daripadanya sebagai ahli sindiket dan seorang pelanggan, serta seorang warga Filipina yang merupakan pembantu rumah kepada seorang daripada dalang utama.

“Kesemua suspek berumur antara 33 tahun hingga 53 tahun. Semakan awal mendapati warga asing yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ruslin berkata modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan kemudahan imigresen dengan menyasarkan warga China, Taiwan dan Thailand yang ingin mendapatkan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) jangka panjang dan pendek untuk tinggal lebih lama di negara ini.

Beliau berkata sindiket itu menggunakan aplikasi WeChat dan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan tersebut dan berhubung dengan pelanggan serta penghantaran dokumen dilakukan secara kurier atau serahan tangan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kadar bayaran yang dikenakan bermula RM1,200 bagi kemudahan Pas Khas dan boleh mencecah hingga RM15,000 bagi kemudahan PLS jangka panjang.

“JIM tidak pernah melantik mana-mana pihak menjadi ejen untuk urusan perkhidmatan imigresen dan warga asing yang ingin membuat permohonan pas perlu hadir ke kaunter atau secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata hasil operasi itu, pihaknya turut merampas 107 naskah pasport antarabangsa pelbagai negara iaitu 100 naskah pasport China, Taiwan (dua), Thailand (tiga) serta Dominica dan Vanuatu masing-masing satu pasport.

Beliau berkata turut dirampas borang permohonan Pas Lawatan imigresen, wang tunai RM57,260 dan 29,660 baht dan lima buah kenderaan.

“Empat warga tempatan dan dua warga China ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala seorang warga China dan Filipina ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ditanya kemungkinan penglibatan pegawai JIM dalam sindiket itu, Ruslin berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat bukti menunjukkan mana-mana pegawai JIM terbabit dalam sindiket kerana satu kesalahan besar bersekongkol dengan ejen.

Selain itu, Ruslin berkata JIM sedang mengesan pemilik kepada 107 pasport berkenaan kerana menyerahkan pasport kepada orang lain merupakan satu kesalahan.