HULU SELANGOR: Sindiket penipuan Fly By Night yang aktif menipu syarikat pembekal barangan menggunakan resit pembayaran palsu sejak Jun tahun ini telah berjaya ditumpaskan.
Lima ahli sindiket berkenaan telah ditahan dalam dua siri operasi oleh Polis Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata operasi pertama melibatkan penahanan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 53 hingga 58 tahun di hadapan sebuah pusat servis kereta di Bandar Mahkota Cheras pada 2.15 petang, 26 September lepas.
Polis turut merampas pelbagai barangan dicuri termasuk plastik pembungkus, baja sawit, barangan dapur, silinder gas, pendingin udara, pemampat udara, minyak enjin, minyak hidraulik, cat, salutan cat penebat haba dan sebuah lori dalam operasi tersebut.
Hasil penahanan tersebut membawa kepada penemuan sebuah gudang simpanan terletak di Kajang yang dipercayai menjadi tempat simpanan barangan diperoleh daripada mangsa penipuan.
Penemuan pelbagai barangan di gudang tersebut membantu pihak polis menyelesaikan enam kes penipuan di Selangor melibatkan kerugian sebanyak RM166,338.10.
Dua kes penipuan di Perak yang membabitkan kerugian RM55,515.70 turut diselesaikan hasil penemuan gudang tersebut.
Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi ahli sindiket terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan lelaki warga Pakistan 30 tahun.
Semakan rekod jenayah mendapati tiga daripada lima tangkapan mempunyai rekod lampau bagi kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
Tangkapan keempat pula mempunyai rekod di bawah Akta Penapisan Filem dan Akta Dadah Berbahaya manakala warga Pakistan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Ujian saringan air kencing mendapati tangkapan kedua dan ketiga adalah positif dadah jenis Methamphetamine.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari hingga 8 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Modus operandi sindiket adalah dengan membuat pesanan pembelian melalui panggilan telefon kepada syarikat mangsa dan kemudian menyerahkan resit palsu sebagai bukti kononnya pembayaran telah dibuat.
Sindiket juga menggunakan khidmat syarikat pengangkutan untuk mengambil barangan dari syarikat mangsa tetapi meminta barangan diturunkan di lokasi berlainan daripada alamat yang diberikan.
Barangan tersebut kemudiannya dijual semula dengan potongan 50 peratus daripada harga asal.
Pemilik syarikat dinasihati supaya memastikan bayaran daripada pelanggan telah disahkan diterima sebelum sebarang barangan pembelian dilepaskan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket seperti itu. – Bernama