Your Title

SANDAKAN: Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, mengesan sindiket penyelewangan minyak diesel dengan modus operandi menggunakan lori kotak yang diubah suai dengan tangki tambahan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata sindiket lori kotak itu, akan mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak dan kemudiannya dikumpulkan untuk diedarkan serta dijual di pasaran gelap.

Beliau berkata sindiket itu dikesan hasil risikan di bawah Ops Tiris 3.0 yang dilakukan KPDN Sandakan dan semalam sebuah lori kotak berkapasiti tiga tan ditahan 4.30 petang, namun pemandu lori terbabit melarikan diri.

“Pemeriksaan di ruang kargo lori kotak itu didapati membawa barang kawalan iaitu minyak diesel anggaran 1,000 liter, di dalam satu daripada tiga tangki.

“Terdapat pengubahsuaian tangki minyak lori kotak terbabit, dipercayai untuk pengisian diesel dibeli daripada stesen minyak dilawati. Pengubahsuaian ini disyaki untuk tujuan penyelewengan dan menjualnya semula untuk mengaut keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azdy Zukkry berkata lori kotak bersama bahan api disyaki diesel bernilai RM48,450 itu, disita mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan siasatan akan memfokuskan untuk mengenal pasti individu atau syarikat terlibat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel subsidi, termasuk sumber bekalan minyak itu diperolehi dan diedarkan.

“Amaran keras kepada individu atau syarikat untuk mematuhi undang-undang dan pengusaha stesen minyak diingatkan agar tidak menjual minyak petrol RON95 dan diesel kepada pembeli yang tidak memiliki kebenaran bertulis dari KPDN.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan serta bersubsidi boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui WhatsApp 019-2794317 atau 019-8488000, Portal e-Aduan e-aduan.kpdn.gov.my atau pusat panggilan 1-800-866-800 selain menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.