KUALA LUMPUR: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah berjaya mengintegrasi maklumat daripada 204 agensi kerajaan bagi mengemas kini 30.4 juta profil rakyat Malaysia dan pemastautin tetap setakat Jun 2025.
Kementerian Ekonomi dalam jawapan bertulis di portal Dewan Rakyat menjelaskan bahawa data PADU akan membantu kerajaan mengenal pasti kumpulan sasar dengan lebih tepat untuk program bantuan dan subsidi.
“Secara prinsip, kerajaan telah memaklumkan cadangan peralihan kaedah pengenalpastian kumpulan sasar daripada pengelasan kumpulan pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 kepada pendapatan boleh guna bersih (NDI).
“Ia adalah pengukuran pendapatan isi rumah berasaskan perbezaan antara pendapatan boleh guna dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh isi rumah/individu untuk mencapai kehidupan wajar,“ menurut kenyataan tersebut.
Maklumbalas ini diberikan sebagai jawapan kepada soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai keberkesanan PADU dalam memastikan penyaluran subsidi lebih adil dan tepat.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa perkongsian data melalui PADU akan meningkatkan kualiti perancangan dasar serta pelaksanaan program kerajaan.
“Ini bertujuan untuk meminimumkan ralat pemasukan dan penyisihan serta membolehkan proses pemantauan dan penilaian yang lebih baik,“ jelas kenyataan tersebut. - Bernama