KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu negara, S. Sivasangari, hanya selangkah lagi untuk menamatkan kemarau lapan tahun tanpa gelaran juara Asia perseorangan wanita apabila mara ke final pada Kejohanan Skuasy Asia, di Hong Kong, hari ini.

Pemain berpangkalan di Amerika Syarikat itu berada di landasan tepat untuk mengikut jejak langkah legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol David yang muncul juara edisi 2015 di Kuwait, selepas mudah mengesahkan tiket final.

Sivasangari, selaku pemain rankling ke-50 dunia, mengekalkan rekod bersih dalam enam pertemuan untuk mengejutkan pilihan pertama, Satomi Watanabe dari Jepun, 11-9,14-12, 11-8, dalam saingan separuh akhir.

Pemain kelahiran Kedah itu akan berdepan dengan wakil tuan rumah dan pemain ranking ke-39 dunia, Chan Sin Yuk, di pentas final.

Sin Yuk menyingkirkan rakan senegara, Tze Lok Ho, 7-11, 11-5, 11-5, 11-7 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, pilihan utama, Ng Eain Yow, akan mempertahankan gelaran, selepas hanya mengambil masa 42 minit melangkah ke final dengan mengetepikan pemain tuan rumah, Henry Leung, 11-5, 11-8, 12-10 di separuh akhir di Pusat Skuasy Hong Kong.

Eain Yow, 25, akan berdepan dengan pemain India, Velavan Senthilkumar, selepas mengejutkan pemain veteran negara, Ivan Yuen, 11-4, 11-6, 8-11, 11-7 dalam pertarungan separuh akhir selama 44 minit itu.

Eain Yow muncul juara pertama pada edisi lepas di Islamabad, Pakistan, pada 2021. -BERNAMA

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image