PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempertimbangkan cadangan untuk melucut hak pemilikan harta tidak diisytiharkan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang dianggarkan lebih RM2 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Daim serta keluarga dan proksi.
“Jadi maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset arwah Tun Daim, keluarganya dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada kami (SPRM) semasa siasatan yang kita jalankan pada 2023.
“Aset berkenaan sekiranya benar tidak diisytiharkan dan merupakan satu kesalahan di bawah akta kami (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009), walaupun dengan ketiadaan Tuan Daim lagi kita akan mencadangkan untuk dilucut hak kepada kerajaan.
“Ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada bersetuju atau tidak tetapi kita ke arah itu sebenarnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Azam berkata pihaknya juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa luar negara seperti Switzerland dan United Kingdom berhubung bukti pemilikan aset bekas menteri kewangan itu.
Ketika ditanya pemberita sama ada harta itu termasuk Menara Ilham yang dikatakan milik keluarga Daim, Azam berkata: “Anda teka sendiri, tapi saya boleh katakan banyak aset, mencecah hingga RM2 bilion.”
Beliau berkata pada masa ini pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi bagi dipastikan sama ada harta tersebut diperoleh secara betul atau sebaliknya.
“Jadi, dalam kes ini saya telah memberi tempoh lebih kurang dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan siasatan,” katanya.