ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan tiga anggota penguat kuasa disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM36,000 bagi melindungi kegiatan rumah urut di sekitar negeri itu tahun lepas.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki daripada agensi kerajaan berbeza itu ditahan antara 8 malam hingga 12 tengah malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Sungai Petani.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Januari tahun lalu dan menerima bayaran secara bulanan yang mencecah sehingga kira-kira RM6,000 bagi melindungi pekerja rumah urut yang tidak mempunyai permit kerja sah.

“Siasatan dipergiatkan dan tidak menolak kemungkinan terdapat dalang lain yang terlibat,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber itu berkata kesemua mereka yang berusia 30-an hingga 40-an itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Kedah Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.