• 2025-08-21 05:29 PM

PUTRAJAYA: Serbuan Ops Sikaro oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan hasil kejayaan tangkapan dalam Ops Sohor terhadap pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya tidak menunggu lama selepas memperoleh maklumat berkenaan dan melakukan serbuan di 14 lokasi di Johor dan Lembah Klang.

“Ops Sikaro merupakan kejayaan daripada hasil risikan dan siasatan SPRM terhadap individu yang ditahan dalam Ops Sohor,“ katanya dalam sesi khas bersama media di Putrajaya.

Azam menegaskan bahawa mereka cuba bertindak secepat mungkin iaitu seminggu selepas maklumat diperoleh untuk membanteras kegiatan penyeludupan.

Kerjasama pelbagai agensi menurut Azam amat diperlukan agar usaha membasmi kegiatan penyeludupan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Operasi Ops Sohor pada 13 Ogos telah melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan perisikan ATM yang bertugas di selatan tanah air.

Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 sehingga 55 tahun ditangkap di sekitar Lembah Klang.

Ops Sikaro pada Selasa lalu telah menggempur premis di sekitar Lembah Klang dan Johor bagi membanteras kegiatan penyeludupan tembakau, rokok serta cerut.

SPRM telah membekukan beberapa akaun bank milik persendirian dan akaun syarikat melibatkan nilai kira-kira 218 juta ringgit.

Pihak suruhanjaya sedang menyiasat bagi mengesan aset lain yang diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram oleh pegawai kastam yang disyaki terlibat serta syarikat pengimport. – Bernama