• 2025-08-14 03:24 PM

MELAKA: Tujuh individu terdiri daripada seorang penjawat awam dan enam kontraktor direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM139,000 pada tahun lepas.

Perintah reman dikeluarkan Majistret N. Sivashangari terhadap suspek berusia 32 hingga 52 tahun itu selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.

Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara 11.24 pagi hingga 12.05 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

“Mereka disiasat atas kesalahan mengemukakan dokumen kerja pembekalan yang melibatkan enam syarikat berbeza bagi memperoleh tuntutan pembekalan perkhidmatan makanan dan minuman berjumlah keseluruhan RM139,100 sedangkan pembekalan berkenaan tidak pernah dilaksanakan,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman berkenaan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 - BERNAMA