PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang aktiviti eksplorasi mineral dijalankan di Sabah oleh syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki (gambar) menyatakan siasatan mendapati syarikat berkenaan tidak pernah memohon tanah daripada Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau menjelaskan syarikat tersebut hanya mengemukakan permohonan untuk eksplorasi mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).
Permohonan itu merupakan kebenaran bersyarat yang diberikan SMM pada Mac 2023 dan bukan kelulusan daripada kerajaan Sabah atau Exco Negeri Sabah.
“Syarikat beliau dikatakan telah menerima kelulusan daripada kerajaan negeri untuk meneroka mineral di Sabah,“ katanya dalam sidang media.
“Siasatan telah dijalankan dan saya memaklumkan bahawa tiada permohonan tanah yang dikemukakan.”
Azam menekankan bahawa syarikat berkenaan gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan sehingga menyebabkan pembatalan permohonan pada 21 Mac lepas.
“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa eksplorasi yang telah dijalankan kerana syarikat tidak membekalkan dokumen berkenaan,“ jelasnya.
SPRM telah menjalankan siasatan dengan memanggil semua pihak terlibat termasuk wakil SMM dan kerajaan negeri untuk memberi keterangan.
Siasatan turut mendapati tiada isu “governans” dalam kes berkenaan berdasarkan keputusan Timbalan Pendakwa Raya.
“Akhirnya Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak,“ katanya.
Kes ini telah ditutup tanpa sebarang pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau Kanun Keseksaan.
Mengenai kes rasuah berkait skandal perlombongan Sabah, Azam memaklumkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri bersama Datuk Albert Tei telah dituduh di mahkamah pada Jun.
Enam ADUN lain masih menunggu keputusan daripada Timbalan Pendakwa Raya mengenai status kes mereka. – Bernama