IPOH: Sebuah stesen minyak di Tambun dekat sini disyaki terbabit dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi apabila membenarkan seorang pemandu lori mengisi 3,000 liter bahan bakar itu dalam masa sejam melalui 13 transaksi pembelian di stesen berkenaan semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata tindakan itu dikesan susulan rampasan 7,000 liter diesel menerusi Op Tiris 3.0 di sebuah stor di Gopeng dekat sini.

Menurutnya, dalam operasi bermula jam 9 pagi itu, didapati pemilik stesen minyak berkenaan mengaku membuat 13 transaksi pembelian diesel kepada seorang pemandu lori yang ditahan.

“Siasatan lanjut telah dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Pemilik stesen boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana bersubahat menjual secara berulang yang mana melanggar arahan ditetapkan.

“Tindakan syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel juga boleh dikenakan jika didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya melalui risikan dan pemantauan mendapati penyelewengan dikesan dilakukan dengan modus operandi menggunakan sebuah lori bertutup kanvas yang telah diubah suai tangki asal dan membuat pembelian secara berulang di stesen minyak sekitar Ipoh.

“Pemandu akan mengisi minyak diesel ke dalam tangki asal dan kemudian akan disedut ke dalam tangki Kontena Pukal Pertengahan (IBC) di atas lori.

“Siasatan awal juga mendapati, sindiket ini kemudiannya akan menjual minyak diesel ini kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Ipoh pada harga yang lebih tinggi,“ katanya.

Katanya pihaknya menahan pemandu lori lelaki warga tempatan berusia 215 tahun dan pemilik stor berusia 32 tahun dan merampas diesel, lori, beberapa peralatan seperti tangki IBC, mesin pam, wayar hos dengan nilaain sitaan dianggarkan berjumlah RM 78,933.

Beliau berkata minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 per liter mengikut harga pasaran minyak diesel industri.

Katanya kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.