SIBU: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah dalam kes yang berlaku bulan lepas. Tie Teck Hock, 52, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1,030.80 gram di kaki lima sebuah premis makanan di Jalan Pedada pada 12 Jun lepas.
Selain itu, Tie dan isterinya, Lee Chee Fei, 45, turut didakwa secara bersama mengedar methamphetamine seberat 6,055.90 gram yang ditemui di bilik stor bawah tangga sebuah rumah di Jalan Permai Jaya 9D1B1 pada malam yang sama. Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan.
Pasangan itu juga didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 2,078.90 gram dan 2,022.15 gram nimetazepam di tempat, waktu, dan tarikh yang sama. Pertuduhan ini dikemukakan di bawah Seksyen 12(2) akta sama, dengan hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda sehingga RM100,000.
Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, tetapi tiada pengakuan direkodkan. Tie sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis pada 26 Jun selepas tamat tempoh reman tujuh hari, tetapi ditahan semula di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Lee juga dibebaskan dengan jaminan pada 24 Jun sebelum ditahan semula.
Mahkamah menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Tiada jaminan diberikan kepada kedua-dua tertuduh.