KOTA BELUD: Sepasang suami isteri ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sangkir di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud Elge Bakuk mengesahkan kejadian itu berlaku sekitar jam 2.52 pagi.
Mangsa yang masing-masing berusia 47 tahun ditemui dalam bilik mandi rumah tersebut.
Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta Proton Saga yang diparkir berhampiran.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada 2.52 pagi dan segera menghantar 12 anggota ke lokasi,“ kata Elge.
Operasi memadam kebakaran berjaya diselesaikan pada 4.55 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Punca kebakaran masih dalam penyiasatan. – Bernama