• 2025-08-01 02:21 PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya mewujudkan dan melaksanakan segera Dasar Pengalihan yang formal untuk kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang, menerusi kerjasama dengan pihak berkepentingan utama termasuk polis, perkhidmatan kebajikan, sekolah dan badan kehakiman.

Gesaan itu dibuat susulan kejadian melibatkan seorang pelajar berumur 14 tahun yang direman dua hari kerana didakwa menumbuk dan mengugut seorang guru selepas ditegur kerana tidak menghadiri kelas Pendidikan Jasmani.

Sambil menyatakan solidariti terhadap guru dan menegaskan bahawa keganasan dalam apa jua bentuk adalah tidak boleh diterima, Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Dr Farah Nini Dusuki menekankan keperluan untuk mempertahankan maruah, hak, dan potensi pemulihan pesalah kanak-kanak, seperti yang dijamin di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan komitmen antarabangsa Malaysia.

“Mekanisme pengalihan membolehkan kanak-kanak yang dituduh melakukan kesalahan kecil atau tanpa kekerasan, dialihkan daripada sistem keadilan jenayah kepada program berasaskan komuniti yang menumpukan kepada pendidikan, kaunseling dan sokongan tingkah laku.

“Pendekatan ini bukan hanya mengurangkan risiko tindakan jenayah dan stigma sosial, tetapi juga menangani isu asas seperti trauma, pengabaian atau kesihatan mental,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Farah Nini berkata dasar sedemikian bukan bermakna menafikan kebertanggungjawaban, tetapi satu perubahan ke arah keadilan pemulihan yang terbukti lebih berkesan dan berperikemanusiaan untuk kanak-kanak.

Beliau berkata kejadian itu perlu menjadi pemangkin kepada refleksi terhadap isu sistemik yang lebih luas, mendorong pertimbangan segera sama ada sekolah mempunyai sistem sokongan tingkah laku positif dan proaktif yang mencukupi, atau tidak.

“Sehubungan dengan itu, Suhakam menggesa Kementerian Pendidikan, pentadbir sekolah dan pihak berkepentingan berkaitan untuk memperkukuh sistem sokongan pencegahan yang holistik, yang mengutamakan kesejahteraan murid dan guru,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Seksyen 15 Akta Kanak-kanak melarang media daripada mendedahkan butiran yang boleh membawa kepada pengenalpastian kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah atau tahanan, bagi melindungi hak privasi mereka dan perlindungan daripada kecaman umum.

Menurut laporan media, seorang pelajar 14 tahun yang menumbuk dan mengugut gurunya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada 30 Julai lepas atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap guru berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun, menetapkan 11 Sept untuk penyerahan laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum menjatuhkan hukuman terhadap remaja itu.

Kejadian itu tular dalam media sosial menerusi sebuah klip video yang memaparkan remaja lelaki itu didakwa menumbuk dan mengugut gurunya di sebuah sekolah menengah di sini pada 28 Julai- BERNAMA